Wednesday, July 1, 2015

Rahsia

Janganlah diungkit
Hal yang rumit
Atau dikenang
Hal yang indah
Kita simpan sahaja
Menjadi rahsia

Satu masa
Tatkala kita bertemu lagi
Jangan kau sapa aku
Ku juga tak mengenal dirimu
Kita simpan sahaja perkenalan ini
Sebagai rahsia

Yang indah
Yang resah
Adalah rahsia hati
Yang kita sahaja
Paling mengerti


Monday, March 11, 2013

mata manusia

tatkala lidah membisu
mengunci segala rahsia

sayang
kerdip mata
tidak pernah menipu
ia membongkar
segala cerita

maaf
aku telah membacanya


Thursday, February 14, 2013

takkan Melayu hilang di dunia

bangsaku
berparang di padang luka
menikam sesama tanpa malu
semahunya dipancung urat nadi
agar meraung derita selamanya

bangsaku
perangnya aneh sekali
menangnya mengutip sisa
kalahnya hilang segala
dagang yang lalu mengutip laba

dan
terus berlagulah nolstalgia lama
takkan Melayu hilang di dunia
takkan Melayu hilang di dunia

sedang yang tertinggal menjadi piala
sebilah parang berdarah
bekas luka bangsanya sendiri

Friday, February 8, 2013

aduhai anak

aduhai anak
berhentilah menangis
kerana perutmu takkan
kosong lagi

tadi
mereka telah datang
singgah di teratak buruk kita

mereka katakan kepada ayah
nasib kita kan terbela
mimpimu kan terlaksana

aduhai anak
berhentilah menangis
kerana perutmu takkan
kosong lagi

sejuta mimpi
mereka gulaikan
segudang janji
mereka masakkan
untukmu

berhentilah menangis
anakku

Wednesday, March 7, 2012

kalau kau datang malam ini

kalau kau datang malam ini
akan ku beritahu mu satu berita
yang aku tidak lagi mencintaimu

kalau kau datang malam ini
tidak lagi ku hadiahkan senyuman indah
seperti hari-hari sebelumnya

kalau kau datang malam ini
tidak lagi aku bermadah
tentang bunga yang mekar di taman
atau bulan yang menaburkan cahaya
kerana kau bukan lagi kekasihku

kalau kau datang malam ini
tidak lagi aku berkata jujur padamu

kerana kejujuran dan cinta
tak pernah mampu dinikahkan
ia hanya dongeng
dalam epik laila majnun
yang tak kau temui di dunia nyata

kalau kau datang malam ini
jangan kau tanyakan padaku
adakah aku sedang berbohong

Sunday, February 26, 2012

itulah hati

dalam sepi
ku membuka pintu
hitam dan sunyi

ku tanya diri
apakah ini

itulah hati
bisiknya

Thursday, February 23, 2012

tidak ada bezanya


tidak ada bezanya

di antara
meninggalkan
dan
tidak mencari

kedua-duanya
berakhir
dengan rasa bersalah