Tuesday, April 28, 2009

Salam untuk YB!

aku tidak kisah kalau tidak ada pilihanraya
aku cuma harap kebajikanku terpelihara

aku tidak kisah parti memerintah atau membangkang
aku cuma harap kampungku disediakan longkang

aku tidak kisah kalau tak ada YB yang masuk ke kampung
aku cuma hairan banyak sangat YB setiap kali mengundi

aku tidak kisah dan tidak hairan
sebab apa mereka suka berpilihanraya

Jangan Inggeriskan anakku

Sekarang mereka
telah meng'Inggeriskan' anak-anakku,
di sekolah.

Jangan nanti,
mereka membedah
hidung anakku
agar lebih tinggi
dan memutihkan rambut
agar kelihatan
lebih Inggeris

anakku tidak perlu tinggi hidungnya
anakku cuma perlu tinggi
sedar budaya
dan bahasanya.

Friday, April 3, 2009

Siapakah di antara kita yang tahu

Siapakah di antara kita yang tahu,
akan untung rugi nasibnya,
berapa banyak amal pahalanya,
sebesar manakah beban dosanya,
yang kita kumpul setiap detik,
dari satu pagi ke satu pagi yang lain,
yang kita bawa dari tahun ke tahun,
sehingga tiba waktunya,
Tuhan memanggil pulang,
untuk dihitung semuanya,
takkan tercicir walau secarik zarah yang kecil,
akan ditimbangkan seadilnya,
dalam neraca keadilan hakiki.

Oh Tuhan,
aku tahu aku hamba berdosa,
aku cuba mengelak kadang tak terdaya,
aku cuba beramal juga walau sedikit,
kadang terhadang, kadang terhalang,
hatiku belum mampu mengelak,
dunia ini ujian yang mengasyikkan,
membuat aku terlupa,
ajalku sedang menanti di hadapan,
pada setiap gerak langkahku.

Oh Tuhan,
aku tahu berapa besar pun amalku,
berapa beratpun dosaku,
tidak ada yang mampu,
mengatasi luas kasih rahmat-Mu,
itulah yang akan menentukan
untung dan rugi jalan panjang nasibku,
di padang akhirat sebuah negeri
yang saban detik,
memanggilku pulang.

Oh Tuhan,
ampunkan dosaku,
terimalah doaku,
aku akan terus mencuba,
menjadi manusia yang sempurna.

FakirFikir
Adelaide 4 April 2009