Friday, April 3, 2009

Siapakah di antara kita yang tahu

Siapakah di antara kita yang tahu,
akan untung rugi nasibnya,
berapa banyak amal pahalanya,
sebesar manakah beban dosanya,
yang kita kumpul setiap detik,
dari satu pagi ke satu pagi yang lain,
yang kita bawa dari tahun ke tahun,
sehingga tiba waktunya,
Tuhan memanggil pulang,
untuk dihitung semuanya,
takkan tercicir walau secarik zarah yang kecil,
akan ditimbangkan seadilnya,
dalam neraca keadilan hakiki.

Oh Tuhan,
aku tahu aku hamba berdosa,
aku cuba mengelak kadang tak terdaya,
aku cuba beramal juga walau sedikit,
kadang terhadang, kadang terhalang,
hatiku belum mampu mengelak,
dunia ini ujian yang mengasyikkan,
membuat aku terlupa,
ajalku sedang menanti di hadapan,
pada setiap gerak langkahku.

Oh Tuhan,
aku tahu berapa besar pun amalku,
berapa beratpun dosaku,
tidak ada yang mampu,
mengatasi luas kasih rahmat-Mu,
itulah yang akan menentukan
untung dan rugi jalan panjang nasibku,
di padang akhirat sebuah negeri
yang saban detik,
memanggilku pulang.

Oh Tuhan,
ampunkan dosaku,
terimalah doaku,
aku akan terus mencuba,
menjadi manusia yang sempurna.

FakirFikir
Adelaide 4 April 2009

No comments:

Post a Comment