Thursday, August 5, 2010

Tuan penjaga nombor

Hai tuan penjaga nombor,
mengapa nombor itu sentiasa bertukar,
kau tukarkan papan harga minyak,
kau tukarkan kertas harga beras,
kau tukarkan nombor harga gula,
kau tukarkan segala yang bernama nombor.

Tuan penjaga nombor,
siapakah engkau yang sebenarnya?
adakah engkau faham derita kami,
kami bergantung pada nombor-nombor itu,
kalau kau tukarkan no 1 menjadi 2 sekalipun,
kami sudah menjadi gelisah,
usahlah dibayangkan kalau no 1 menjadi 10.

Tuan penjaga nombor,
lihatlah kerana nombor-nombor itu,
wang dalam poket kami kian menyusut,
simpanan kami di bank tiada berbaki,
anak kami merungut lagi,
wang sekolahnya tak cukup lagi.

Tuan penjaga nombor,
tolonglah.
tolonglah.