Thursday, March 31, 2011

makna rasuah itu

Adakah memberi sesuatu
dan mengharapkan balasan
itu rasuah?

bagaimana pula,
menyuapkan sesuatu
tatkala diri tersepit
dengan harap dapat dilepaskan
dari terhimpit?

setiap kali ada pilihanraya
diberikan kita itu dan ini
seolah-olahnya kita ini
hamba fakir yang miskin
makan suapkah itu?

Bagiku,
rasuah itu
bukanlah berapa mampu kita memberi
atau berapa banyak kita menerima
tidak juga dikira waktunya
siang atau malam
memberi laba atau membahagi harta
sama ada di kala leher terjerut
atau kaki sedang terjerat

rasuah itu
tergantung padanya
siapakah yang memberi
siapa pula yang menerima
kecil atau besar
bukan soalnya.

Tuesday, March 29, 2011

Selamat pulang sahabat

tahun 1985
kita anak-anak luar bandar
masih terlalu kecil dan berhingus
dari daerah dan latar hidup berbeza
disatukan di satu bangunan asrama
memulakan jalan perjuangan
di sekolah bandar ternama

di situlah kita semua bermula
di situlah cerita kita tertera

tahun demi tahun
kita menghidupi gelak riang anak remaja
menyusup pagar menonton wayang
menyalakan api rokok di belakang bangunan
bermain aci sembunyi dengan warden
sesekali konsert Search menggangu riak fikir
bagaimana boleh pergi ke sana.

tentu kita tidak dapat melupakan
nama-nama ini yang selalu ada dalam ingatan
badak, katik, belalang, keridik, kapal
koboi, gorila dan kerbau
itu nama rasmi kita semua
tanpa pangkat tanpa darjat
kita memiliki nama itu
dengan penuh kebanggaan

satu malam di tengah hujan
kita menulis satu demi satu jawapan
matematik dan kimia
di setiap bucu baju
kononnya itulah jawapan rasmi peperiksaan
menjadikan kita lebih pintar dari yang lain

besoknya dengan penuh yakinnya kita
melangkah masuk ke dewan
sayang jawapannya hampa
ia hanya soalan bocor yang direka

banyak lagi cerita lain
yang tidak dapat aku bocorkan
biarlah ia menjadi rahsia
kita bersama

jangan salah sangka
kita juga tidaklah terlalu nakal
kita juga selalu solat berjemaah
subuh dan maghrib tidak pernah tertinggal
sesekali kita juga ada qiamullail

tahun 1990

ramai di antara kita yang berjaya
menjejak kaki ke universiti lebih awal
hanya aku, engkau dan beberapa orang lain
terus melekat di bangku kayu
memakai baju putih dan seluar hijau
oh jangan terlupa
kita memakai seluar sekolah 'boot cut'
kakinya besar pahanya ketat

tahun 1991
itulah tahun terakhir
generasi aliran khas 1985
kita meninggalkan bangunan sekolah itu
buat selama-lamanya
meninggalkan segala cerita
suka dan duka
galang persahabatan
indah dan luka
ragam pengalaman

ketika memasukinya kita masih terlalu kecil
ketika meninggalkannya kita tidak lagi remaja
kita manusia dewasa yang perlu melakar
cerita kita sendiri.

tahun 2009
setelah 18 tahun tidak bertemu
khabarnya engkau sedang sakit
dari bumi Adelaide aku menghubungimu
sepertinya engkau tidak lagi mengenal suaraku
tapi tentulah sang gorila tidak akan melupakan sang kerbau
bertanya dan berboraklah kita
indahnya nolstalgia yang takkan terpadam

tahun 2011
genaplah 2o tahun aku tidak melihat wajahmu
tidak pernah bertemu
sejak kita meninggalkan zaman indah anak sekolah

tadi pagi
seorang teman lama
dari aliran khas 1985 itu juga
mengirimkan sms memuat khabar luka
engkau sudah pulang buat selama-lamanya.

selamat pulang teman
kita ditakdirkan untuk tidak bertemu lagi
di alam ini

moga-moga kita akan berjumpa semula
di ruang abadi

tapi ingatan kami padamu
tak akan padam
kita semua adalah satu sahabat
bersatu sepanjang hayat
mencatat cerita indah alam remaja


30 Mac 2011