Wednesday, March 7, 2012

kalau kau datang malam ini

kalau kau datang malam ini
akan ku beritahu mu satu berita
yang aku tidak lagi mencintaimu

kalau kau datang malam ini
tidak lagi ku hadiahkan senyuman indah
seperti hari-hari sebelumnya

kalau kau datang malam ini
tidak lagi aku bermadah
tentang bunga yang mekar di taman
atau bulan yang menaburkan cahaya
kerana kau bukan lagi kekasihku

kalau kau datang malam ini
tidak lagi aku berkata jujur padamu

kerana kejujuran dan cinta
tak pernah mampu dinikahkan
ia hanya dongeng
dalam epik laila majnun
yang tak kau temui di dunia nyata

kalau kau datang malam ini
jangan kau tanyakan padaku
adakah aku sedang berbohong

Sunday, February 26, 2012

itulah hati

dalam sepi
ku membuka pintu
hitam dan sunyi

ku tanya diri
apakah ini

itulah hati
bisiknya

Thursday, February 23, 2012

tidak ada bezanya


tidak ada bezanya

di antara
meninggalkan
dan
tidak mencari

kedua-duanya
berakhir
dengan rasa bersalah




Monday, February 20, 2012

terima kasih

di kaki senja
aku bertemu
kuntum yang gugur

di kaki senja
aku terkenang
siang yang pergi

di kaki senja
aku menanti
dipanggil pulang

terima kasih
memberi makna
lewat perjalanan ini
ku simpan ia
dalam catatan
sebuah pengalaman

Thursday, February 16, 2012

realiti sebuah kehidupan

Sekian lama lelaki itu mencari
kekasih yang benar-benar memahami
dirinya
sehinggalah satu hari dia bertemu
dengan gadis impian

gadis itu benar-benar memahami dirinya
tidak ada manusia lain yang sehebatnya

mereka bertemasya riang
berkeliling ke luar negara
dibelikannya berlian terbaik
dibinanya istana cantik
menghargai betapa indahnya
memiliki seseorang
yang memahaminya

satu hari
lelaki itu jatuh sakit
gemerlap kekayaannya sirna
dia menjadi manusia yang tidak berguna

berkatalah kekasihnya
bertahun-tahun lamanya
aku telah melunaskan mimpimu
ku korbankan jiwa dan ragaku
untuk menjadi seorang wanita
yang benar-benar memahami dirimu

hari ini aku pohon darimu
untuk memahami diriku
kau lepaskan aku
agar aku tidak tersiksa

ya hari ini
lelaki itu tahu
dia belum lagi bertemu
seseorang yang benar-benar memahami dirinya

dia baru sahaja bertemu
dan memahami
realiti sebuah kehidupan