Monday, March 11, 2013

mata manusia

tatkala lidah membisu
mengunci segala rahsia

sayang
kerdip mata
tidak pernah menipu
ia membongkar
segala cerita

maaf
aku telah membacanya


Thursday, February 14, 2013

takkan Melayu hilang di dunia

bangsaku
berparang di padang luka
menikam sesama tanpa malu
semahunya dipancung urat nadi
agar meraung derita selamanya

bangsaku
perangnya aneh sekali
menangnya mengutip sisa
kalahnya hilang segala
dagang yang lalu mengutip laba

dan
terus berlagulah nolstalgia lama
takkan Melayu hilang di dunia
takkan Melayu hilang di dunia

sedang yang tertinggal menjadi piala
sebilah parang berdarah
bekas luka bangsanya sendiri

Friday, February 8, 2013

aduhai anak

aduhai anak
berhentilah menangis
kerana perutmu takkan
kosong lagi

tadi
mereka telah datang
singgah di teratak buruk kita

mereka katakan kepada ayah
nasib kita kan terbela
mimpimu kan terlaksana

aduhai anak
berhentilah menangis
kerana perutmu takkan
kosong lagi

sejuta mimpi
mereka gulaikan
segudang janji
mereka masakkan
untukmu

berhentilah menangis
anakku